Sedangkan maklum bahawa binatang kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia termasuklah di dalam rumah-rumah manakala bulu-bulunya akan banyak jatuh gugur sama ada atas pakaian manusia ataupun barangan perkakas dalam rumah mereka.
Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu-bulu kucing ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian.
Tambahan pula baginda ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
Jelaslah bahawa bulu kucing adalah suci manakala bulu-bulunya yang hinggap atas badan atau pakaian tidak menimbulkan apa-apa halangan sama ada dalam solat atau di luar solat.
Adapun pandangan yang membatalkan solat sekiranya terdapat banyak bulu kucing atas badan atau pakaian maka ini pandangan yang tertolak, tidak diterima kerana tidak didasari dalil yang sahih sedangkan petunjuk dalil menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
Maka nas hadis perlu didahulukan manakala mana-mana pandangan akal ijtihad yang menyalahi petunjuk hadis wajib ditolak.
CATATAN
Sahabat Nabi ﷺ yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu Abu Hurairah mendapat jolokan nama ini (Abu Hurairah) kerana beliau gemar memelihara kucing (hurairah). Tiada walau satu pun riwayat daripada beliau menghukum bulu kucing sebagai najis. Malah beliau antara yang meriwayatkan hadis “Kucing bukan najis.”
Rujukan:
https://islamqa.info/ar/answers/176304/حكم-الصلاة-في-الثوب-الذي-يعلق-به-شعر-من-شعور-القطط
Allah jua pemberi petunjuk.
Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syawal 1445H
20 April 2024